Assalamualaikum dan salam 1 Palestin...
Memandangkan hari ini tidak sibuk, saya ingin teruskan riwayat pengembaraan kami di Pulau Jawa,Indonesia. Kami bergerak dari Air Terjun Mardakaripura ke Kawah Ijen dengan penuh semangat kerana di sana adalah tujuan kami ke tanah Jawa ini. Perjalanan agak jauh dan keadaan malam yang gelap tidak mengizinkan saya untuk melihat sekeliling di luar bas yang kami naiki. Setahu saya perjalanan kali ini agak mencabar kerana bas kami bergoyang-goyang menunjukkan kami sedang melalui jalan yang tidak berturap. Setibanya kami di pintu masuk ke kawasan perkampungan di kaki kawah ijen, bas kami berhenti untuk pemandu kami berehat. Di saat itu ada satu situasi yang amat menggerunkan kami kerana mengikut percakapan penjaga di pintu masuk itu, selama dia berkhidmat di situ, tidak pernah ada bas sebesar ini masuk ke dalam. Ini membuatkan kami sedikit cuak dan risau, tetapi melihat pemandu kami yang tenang dan santai membuatkan kami agak lega sedikit. Kami tiba di kawasan perkampungan di dalam sebuah ladang kopi. Kami meetap di Catimor, Kebun Blawan, Desa Kelianyar dalam Kacamatan Sempol.
Keesokkan paginya kami memulakan perjalanan mendaki Kawah Ijen seawal jam 5 pagi. Kami menaiki sebuah van untuk sampai ke kaki gunung di mana terletaknya kawah Ijen. Perjalanan kami mengambil masa kira-kira 3 jam untuk sampai ke sebuah pejabat yang terletak di atas gunung. Pejabat yang saya maksudkan adalah di mana penambang-penambang sulfur menimbang bebanan yang mereka bawa untuk direkodkan untuk pembayaran upah mereka.
Gambar di sebelah menunjukkan 2 orang senior photografer yang turut serta dalam ekspedisi kali ini.
Disebelah kiri En Jasni dan di sebelah kanan En Aziz. Kamu boleh melihat gambar-gambar yang mereka ambil dengan klik saja pada nama mereka.
Perjalanan kami dari pejabat tersebut ke puncak ijen lebih kurang 1 jam pendakian lagi. Pemandangan di sana memang cantik sekali. Keindahan gunung-ganang yang menghijau di keliling memang memukau mata-mata yang melihatnya. Sungguh Indah alam ciptaan Allah S.W.T. Kami tiba Diatas puncak ijen dengan penuh kegembiraan. Di sini kami mengambil peluang mengambil beberapa keping gambar untuk menjadi koleksi dan bukti kami telah berjaya menawan puncak Ijen.
Suasana di Kawah Ijen. Asap berbau sulfur memang menyukarkan perjalanan kami dan kami terpaksa menutup hidung kami dengan topeng bagi mengelakkan sesak nafas akibat terhidu asap sulfur ini.
Gambar menunjukkan suasana tasik atau danau di Kawah Ijen. Gamabar ini di ambil di celah pepohon yang telah mati di atas Kawah Ijen.
Kawah Ijen memang terkenal dengan perlombongan sulfur. Di sini, sulfur yang panas keluar dari perut bumi disiram dengan air untuk mengeraskan cecair sulfur yang panas itu. Kemudian sulfur itu dipotong dan diangkut oleh penambang-penambang ke kaki bukit untuk diproses. Saya sungguh kagum melihat kekuatan yang dimiliki oleh para penambang tersebut. Sekali bebanan yang diangkat kira-kira minimum 60kg dan maksimum 110kg. seorang penambang boleh mengangkut sulfur kira-kira 2 kali perjalanan sehari.
Gambar disebelah menunjukkan alat yang digunakan oleh para penambang untuk mengangkat sulfur turun dari puncak Ijen. dianggarkan berat bebanan kira-kira 100kg. terdapat juga beg salah satu ahli ekspedisi kami diletakkan untuk perbandingan.
Alhamdullilah kami semua selamat sampai ke atas kawah Ijen dan merakamkan beberapa keping foto untuk koleksi dan kenangan. Anda boleh melihat gambar-gambar pemandangan Kawah Ijen yang saya rakam dengan klik di SINI.
Semoga berjumpa lagi di entri yang lain yang mana perjalanan kami diteruskan di sebuah pantai yang indah di Pulau Jawa.Insya Allah.
Assalamualaikum dan salam satu Palestin dari saya...
No comments:
Post a Comment